3 APRIL 2013 – Parlimen sudah pun dibubarkan pada hari ini, dan kita
dijangkakan akan mengundi leih kurang dua minggu daripada sekarang. Ketika
menjelangnya pilihan raya, parti politik yang bertanding akan melancarkan
gerakan untuk mempengaruhi pemilih supaya mengundi mereka. Masa inilah segala
macam dakyah dan taktik digunakan oleh semua pihak yang terbabit untuk meraih
undi.
Kita sebagai
pemilih harus memilih calon yang bertanding dengan betul supaya kuasa yang
berada di tangan kita digunakan dengan sebaiknya. Kita tak mahu rasa bersalah di kemudian
hari pula nanti kerana menyalahgunakan kuasa (salah pilihlah maknanya tu).
Harus diingat,
untuk memilih wakil kita di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, permainan
politik kepartian bukanlah perkara pokok atau yang utama yang patut kita
pertimbangkan. Ia sepatutnya hanya sebahagian, diulangi di sini HANYA SEBAHAGIAN daripada elemen yang
perlu difikirkan.
Ketika tempoh
berkempen kita akan mengalami ledakan maklumat; seperti benda-benda lain yang
meledak, ia menghamburkan banyak perkara, baik yang bagus maupun yang buruk.
Sekali lagi ia menjadi tanggung jawab kita sebagai pemilih untuk menapis
maklumat yang diterima dan ambil yang berguna sahaja.
Kita perlu tapis
segala maki-hamun, cercaan, fitnah serta habuan dan faedah yang diterima
daripada pihak yang bertanding. Apa yang penting, sebagai pemilih kita berhak
untuk menentukan siapa yang mewakili kita di Dewan Rakyat mahu pun di Dewan
Undangan Negeri.
Ini termasuklah
manifesto yang diumumkan oleh pihak yang terbabit untuk menggambarkan manfaat
yang boleh mereka usahakan apabila menang nanti.
Cara untuk
membuat pilihan yang betul adalah menyoal diri sendiri apa manfaat kita boleh
dapat daripada calon-calon yang tersedia di hadapan kita. Itulah perkara pokok,
utama dan pertama yang sepatutnya bermain di kepala dan benak kita.
Ia mungkin nampak
seperti mementingkan diri sendiri, tapi
itulah inti pati pilihan raya sebenarnya – APA
MANFAAT YANG KITA BOLEH DAPAT? Mengapa perkataan ‘BOLEH’ digunakan tetapi
tidak ‘AKAN’?
Kita semua adalah
manusia biasa, kita mesti berpijak di bumi nyata dan jangan begitu tamak untuk
mendapatkan apa yang kita ‘mahu’ disebalik apa yang kita ‘perlu’. Janganlah
kita meletakkan harapan tinggi melangit sesama kita manusia.
Baik, sekarang
kita sudah tahu perkara penting yang sepatutnya yang kita fikirkan. Tapi
bagaimana kita hendak menapis ledakan maklumat yang kita alami?
Timbang-timbangkan
perkara yang disenaraikan di bawah (disusun mengikut keutamaan):
1 1. Keperibadian
calon – Kenali
keperibadian calon yang disenaraikan untuk bertanding di kawasan kita. Tentukan
tahap pendidikan dan watak calon itu. Lagi bagus kalau kita tau perwatakan
keluarga beliau sekali. Ini penting kerana calon yang menang akan mewakili bukan sahaja seluruh
penduduk setempat malah kita sebagai individu. Seorang calon yang kurang
mementingkan diri sendiri akan lebih prihatin terhadap orang lain. Individu
yang terlalu fokus terhadap kedudukan dan statusnya mungkin tidak begitu
mengambil berat tentang isu lain di sekeliling beliau. Tentukan calon yang kita
pilih mampu dan mahu menyuarakan hasrat kita sebagai pemilih ke peringkat Dewan
Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. INGAT,
inilah core business mereka sebagai
YB; bukannya mendedahkan keaiban orang lain atau tuduhan liar tanpa fakta,
serta tohmahan-tohmahan di pentas ceramah seluruh negara; ini semua hanyalah
‘white noise’ untuk mengelirukan kita.
KPI seorang YB adalah tahap perkhidmatannya kepada rakyat di kawasannya dan
prestasi beliau di Dewan Rakyat mahu pun di Dewan Undangan Negeri. Jadi ketika
memilih pada pilihan raya, pilihlah calon yang mempunyai keperibadian yang
baik, individu yang mampu dan mahu bekerja untuk dan bersama rakyat yang
diwakilinya, serta berhubung baik dengan para pentadbir seperti Pegawai Daerah,
Pegawai Pelajaran Daerah, Ketua Polis Daerah, Penghulu dan sebagainya. Dalam
erti kata lain YB yang diundi itu adalah pemudah cara bagi kedua-dua belah dari
rakyat dan pentadbir kerajaan. YB yang dipilih juga adalah perantara paling
berkesan bagi pihak-pihak yang terbabit tadi. Beliau juga menjadi penyelesai
masalah; bukan sebahagian daripada atau penimbul masalah kepada sesuatu isu.Jangan pilih calon yang hanya pandai BERCAKAP TAK SERUPA BIKIN! Kita yang
rugi nanti.
2 2. Parti
calon – Sebagai
sebuah demokrasi Malaysia mempunyai banyak parti politik. Namun, hanya ada
beberapa parti sahaja memperlihatkan keazaman politik mereka. Setiap parti politik mempunyai objektif dan agenda mereka yang tersendiri
dan kita menyaksikan perbezaan itu saban hari melalui sumber media yang
pelbagai. Mungkin ada diantara konsep yang diguna pakai oleh parti tertentu
sesuai dengan diri kita, tapi untuk memilih YB yang akan mewakili kita, teramat
perlu kita melihat parti yang berada dibelakang beliau. Perkara ini adalah
diantara penentu terbesar keberkesanan seseorang YB yang dipilih.
3 3. Sokongan calon – Tugas seorang
YB adalah sangat mencabar dan memerlukan sokongan dan sumber yang berbagai.
Kita tak mahu lihat fenomena YB yang keluar daripada sesuatu parti untuk
menjadi YB bebas seperti selepas PRU 12 dahulu berulang lagi. Ini terjadi kerana YB-YB
yang berkenaan tidak mendapat sokongan daripada parti yang beliau wakili
sendiri. Mengapa ini boleh terjadi? Jawapannya agak senang; asalnya YB-YB ini
adalah calon parachute, bermakna
mereka ini bukanlah diambil daripada dalam kalangan ahli parti setempat (ada
diantara mereka yang bukan ahli pun sebelum dinamakan sebagai calon). Sungguh
pun ketika berkempen mereka diberikan sokongan, namun setelah menang, perasaan
tidak puas hati timbul dalam kalangan ahli partinya sendiri oleh kerana perkara
tertentu. Mungkin setelah dipilih sebagai YB, individu yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang peranan di dalam parti menjadi lebih rapat dengan pucuk atas kepimpinan
parti, dan ini menimbulkan iri hati dan permainan politik yang buruk pun
berlaku. Pernah dilaporkan dimedia bagaimana seorang YB pernah dihina oleh
ahli partinya sendiri pada satu majlis Aidilfitri. Pernah juga program seorang
YB disabotaj oleh ahli partinya sendiri kerana beliau dianggap sebagai orang
luar yang memijak kepala ahli setempat untuk menjadi wakil rakyat. Kita perlu betul-betul
mengelak fenomena seperti ini kerana apabila diperlakukan sedemikian, seseorang
YB itu menjadi tidak berkesan untuk kita sebagai pemilih yang mengundi beliau.
Mana mungkin YB sedemikian mampu menjalankan tugas tanpa satu jentera yang jitu
menyokongnya dari belakang, ia menjadi bertambah rumit sekiranya beliau
merupakan pihak pembangkang di Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri. Fikirkan juga apakah yang diperjuangkan oleh parti calon yang dinamakan. Kita
harus bertanya apakah perjuangannya sesuai dengan hasrat kita dan sudahkah ia
menampakkan hasil serta manfaat yang kita telah dapat daripadanya selama ini?
Kita nilai kembali kehidupan kita sekarang, adakah kita lebih susah daripada
dahulu atau sebaliknya? Kita lihat juga apa yang kita ada dahulu dan apa yang
kita tiada sekarang. Kita TIMBANGKAN
BETUL-BETUL, istikharoh lah kalau mau, lagi bagus!
No comments:
Post a Comment